Wednesday, 29 February 2012

Makluman Yuran PIBG Bermula 2012

Assalamualaikum,



Makluman kepada warga ibu bapa murid SK Sungai Tiram,
Pada Mesyuarat Agung PIBG Kali ke-33 yang lalu, pihak Ahli Jawatankuasa PIBG bersama ibu bapa telah bersetuju untuk menaikkan yuran sumbangan PIBG daripada RM 10/sekeluarga kepada RM 20/sekeluarga.

Manakala, yuran komputer sekolah masih dikekalkan RM 20/seorang. Yuran komputer ini dikutip bagi tujuan pembaikan, penstrukturan semula, penambahbaikan dan pengisian pelbagai program berasaskan komputer bagi kegunaan murid-murid di sekolah ini. Setiap murid akan dapat merasai proses Pembelajaran dan Pengajaran berasaskan IT dengan lebih kerap lagi.

Bagi murid tahun 6, tambahan RM 50 untuk program kecemerlangan UPSR juga akan dikutip demi memudahkan pengurusan program-program bagi murid-murid yang bakal menduduki UPSR bagi tahun 2012 ini. Pelbagai program telah dirancangkan oleh pihak sekolah demi untuk kejayaan murid-murid. Tambahan pula, pada tahun 2012 ini, murid tahun 6 telah bertambah kepada 200 orang dan telah dipecahkan kepada 6 kelas. Jadi, dengan murid yang ramai ini, program-program yang bersesuaian dengan pencapaian murid akan diterapkan sepanjang tahun ini.

Dengan kenaikan yuran mulai tahun ini, pihak PIBG akan cuba berusaha untuk meningkatkan juga kualiti dan mempelbagaikan lagi program yang dapat memberikan faedah untuk anak-anak di SK Sungai Tiram. Segala sumbangan tuan / puan akan digunakan sebaik-baiknya demi kecemerlangan sekolah ini.

Harapan kami, agar peratus pembayar sumbangan PIBG dapat meningkat daripada 75% pada tahun 2011 kepada 100% mulai tahun ini. Sumbangan tuan / puan penting demi mencorakkan perancangan PIBG bagi tahun ini demi kebaikan anak-anak.

Sekian, terima kasih.

Monday, 27 February 2012

Baju Korporat PIBG SKST 2012/2013


Demi mengenang jasa dan membalas sumbangan ahli PIBG SK Sungai Tiram, setiap dua tahun sekali, Persatuan Ibu Bapa dan Guru SK Sungai Tiram akan menempah baju korporat baru bagi AJK PIBG.

Baju Korporat seperti diatas adalah untuk AJK lelaki, manakala AJK wanita pula memilih untuk membeli kain ela bertemakan Oren/Putih untuk dijadikan baju kurung / baju batik.

Untuk sesi 2012/2013 ini, PIBG SK Sungai Tiram telah memilih tema Oren/Hitam bagi menggantikan tema Hijau/Hitam pada sesi 2010/2011 yang lalu.

Diharap selepas ini, AJK PIBG akan lebih bersemangat dalam berusaha untuk memajukan lagi SK Sungai Tiram ini.

Sekian, terima kasih.

Sunday, 26 February 2012

Terima Kasih


Alhamdulillah, dengan izin ALLAH Mesyuarat Agung PIBG 2012 telah berlangsung dengan jayanya.

Terima kasih diucapkan kepada semua ibu bapa dan guru - guru yang hadir ke Mesyuarat Agung PIBG kali ke-33 yang berlangsung pada Sabtu, 25 Februari 2012 yang lalu.

Pelbagai agenda dan perancangan telah dapat dibincangkan secara bermesyuarah dan sepakat diantara semua ahli yang hadir. InsyaALLAH, pihak AJK PIBG akan cuba sedaya upaya untuk menyelesaikan masalah tuan / puan, mengotakan segala usul yang diterima, merancang pelbagai program untuk anak-anak dan menjadikan sekolah SK Sungai Tiram, Pasir Gudang antara sekolah terbaik di daerah ini dan di Johor amnya.

Terima kasih kepada semua guru - guru yang bertungkus lumus untuk menjayakan Mesyuarat Agung kali ini. Semoga segala pengorbanan dan kudrat tuan / puan dibalas oleh ALLAH sebaik-baiknya.

Pihak PIBG juga ingin memohon maaf diatas kelemahan, kekurangan dan kekhilafan yang ada sepanjang majlis ini berlangsung. Sesungguhnya yang baik itu datangnya dari Allah, dan yang buruk itu datang dari kelemahan saya sendiri.

Akhir kata, tahniah kepada semua. InsyaAllah, berjumpa kita lagi didalam program PIBG akan datang.

Tuesday, 21 February 2012

Mesyuarat Agung PIBG Kali Ke-33 (2012)



MESYUARAT AGUNG PIBG KALI KE-33
TAHUN 2012

Dengan sukacitanya, PIBG SK Sungai Tiram, Pasir Gudang akan mengadakan
Mesyuarat Agung PIBG Kali Ke-33
pada

Tarikh: 25 Februari 2012 
Hari: Sabtu
Masa: 8.00 pagi - 11.00 pagi
Tempat: Dewan SK Sungai Tiram


Majlis ini akan dirasmikan oleh
Tuan Haji Sidik Bin Sarmidi
(Pengerusi JKKK Kampung Sungai Tiram)


Semua warga ibu bapa murid dan guru - guru 
SK Sungai Tiram dijemput hadir kemajlis ini.

Cabutan bertuah disediakan kepada pengujung yang hadir.

Sekian, Terima Kasih.

Monday, 20 February 2012

Selamat Datang

SK Sungai Tiram, Pasir Gudang, Johor

Selamat Datang ke blog
Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG)
Sekolah Kebangsaan Sungai Tiram
Pasir Gudang, Johor

Blog ini diterbitkan dengan matlamat supaya:
1. Menghebahkan sebarang aktiviti anjuran PIBG SK Sungai Tiram.
2. Menerima sebarang maklumbalas berkaitan PIBG sekolah.
3. Mengeratkan hubungan antara guru, ibu bapa dan murid.

Diharap blog ini dapat memberikan input berguna kepada semua pelawat.

Sekian, Terima Kasih.