Pada Mesyuarat Agung PIBG Kali ke-33 yang lalu, pihak Ahli Jawatankuasa PIBG bersama ibu bapa telah bersetuju untuk menaikkan yuran sumbangan PIBG daripada RM 10/sekeluarga kepada RM 20/sekeluarga.
Manakala, yuran komputer sekolah masih dikekalkan RM 20/seorang. Yuran komputer ini dikutip bagi tujuan pembaikan, penstrukturan semula, penambahbaikan dan pengisian pelbagai program berasaskan komputer bagi kegunaan murid-murid di sekolah ini. Setiap murid akan dapat merasai proses Pembelajaran dan Pengajaran berasaskan IT dengan lebih kerap lagi.
Bagi murid tahun 6, tambahan RM 50 untuk program kecemerlangan UPSR juga akan dikutip demi memudahkan pengurusan program-program bagi murid-murid yang bakal menduduki UPSR bagi tahun 2012 ini. Pelbagai program telah dirancangkan oleh pihak sekolah demi untuk kejayaan murid-murid. Tambahan pula, pada tahun 2012 ini, murid tahun 6 telah bertambah kepada 200 orang dan telah dipecahkan kepada 6 kelas. Jadi, dengan murid yang ramai ini, program-program yang bersesuaian dengan pencapaian murid akan diterapkan sepanjang tahun ini.
Dengan kenaikan yuran mulai tahun ini, pihak PIBG akan cuba berusaha untuk meningkatkan juga kualiti dan mempelbagaikan lagi program yang dapat memberikan faedah untuk anak-anak di SK Sungai Tiram. Segala sumbangan tuan / puan akan digunakan sebaik-baiknya demi kecemerlangan sekolah ini.
Harapan kami, agar peratus pembayar sumbangan PIBG dapat meningkat daripada 75% pada tahun 2011 kepada 100% mulai tahun ini. Sumbangan tuan / puan penting demi mencorakkan perancangan PIBG bagi tahun ini demi kebaikan anak-anak.
Sekian, terima kasih.
No comments:
Post a Comment